Tuesday, March 10, 2009




FITNAH WANITA
(Apabila Maruah Srikandi Terusik)

Wanita yang diciptakan Allah mempunyai keistimewaannya yang tidak dapat disangkal lagi sehingga mampu memartabatkan dan meruntuhkan dunia. Sebelum kedatangan syariat Islam waita dianggap mendatangkan keburukan. Lantas anak-anak yang dilahirkan terus ditanam hidup-hidup. Kini martabat wanita diiktiraf oleh Islam dan dijulang maruahnya ke puncak kemuliaan. Sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud “Apabila seorang bapa mendapat anak perempuan kemudian dipelihara dan dijaga dengan baik, maka dia akan debekaskan dari seksa api neraka”. Peranannya pula sebagaimana kaum lelaki untuk beribadat kepada Allah Taala di atas muka bumi ini. Firman Allah Taala yang bermaksud “Wahai manusia, bertaqwalah kamu kepada tuhanmu yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri (Adam) dan daripadanyalah Allah menciptakan isterinya (Hawa) dan daripada kedua-duanyalah Allah memperkembangkan keturunan lelaki dan perempuan”surah An-Nisa’:1.
Namun kini imej wanita telah digunakan sebagai umpan pelaris barangan, juga dieksploitasikan untuk meraut keuntungan semata-mata. Maruah sanggup digadai hingga dianggap murah lantas pelbagai pihak memperdagangkan wanita dan dipertontonkan di mata dunia. Kelebihan kelembutan dan keistimewaan itu pula telah menjadi fitnah yang merosakkan martabat wanita itu sendiri dan hanya sebagai perhiasan semata. Sabda Nabi SAW “dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan yang paling indah ialah wanita solehah”. Media massa dan ledakan informasi yang menyebarkan semua maklumat pula kini telah salah digunakan hingga membawa kesan buruk pada pemikiran dan rentak hidup masyarakat. Masyarakat juga sudah tidak mengamalkan syariat Islamiah tetapi telah berubah gaya dan stail hidup mereka sepertimana Negara-negara barat.
Implikasinya wanita menjadi bahan fitnah yang meruntuhkan imej Islam. Sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud “Aku tidak meninggalkan sesudahku fitnah yang lebih besar bahayanya bagi kaum lelaki, selain dari fitnah wanita”. Maruah yang dijulang oleh Islam telah hilang dan tiada nilainya lagi. Namun begitu ada pihak yang menjulang dan menyanjung wanita sebegini. Manakala pihak yang ingin menjaga maruahnya pula dihalang untuk menyatakan kebenaran sepertimana yang berlaku kepada bekas mufti Selangor Dato’ Ibrahim Ishak Baharom suatu ketika dahulu apabila mengharamkan penyertaan wanita dalam pertandingan ratu cantik Malaysia, sebaliknya hal ini dipandang remeh dan merupakan hak individu. Paling membingungkan apabila tiada sebarang bantahan dan kecaman oleh pihak tertentu yang mewakili sebahagian besar wanita. Ini merupakan wabak yang menggerunkan dan merupakan satu isu yang boleh meruntuhkan budaya Melayu dan agama Islam khususnya. Fenomena ini dipandang remeh oleh pihak kerajaan sehingga tidak mengambil tindakan dan inisiatif untuk membendung dan membasmi pengeksploitasi ini. Masyarakat juga perlu memainkan peranan untuk mengembalikan peranan untuk mengembalikan maruah wanita sepertimana yang dianjurkan oleh syariat Islamiah.
Kita hari ini terpaksa melihat kesengsaraan wanita yang sanggup menggadai diri sendiri, sehingga dijadikan sebagai bahan eksploitasi untuk melariskan jualan. Ada pula yang menggunakan wanita sebagai taktik politik mereka. Amat sedih sebenarnya keistimewaan yang ada diserahkan untuk mengkaburi kebenaran. Perancangan zionis pula telah berjaya apabila ada pihak yang menggunakan wasilah ini untuk melumpuhkan umat Islam. Strategi 5S iaitu sport,sing,skrin,sekular, dan sex perlu keprihatinan kita bersama supaya lubang-lubang untuk melemahkan Islam dapat ditutup dengan kekuatan dan kesedaran kita. Kesedaran wanita terhadap diri mereka sendiri juga penting untuk menjaga dan menjauhkan mereka dari menjadi bahan fitnah masyarakat. Iman yang kukuh dan kuat serta mengikut syariat Allah mampu untuk menjadi benteng kepada wanita daripada digunakan sewenang-wenangnya.
Andaikan mereka mendapat pendidikan yang baik serta memahami tuntutan agama dalam perkara-perkara yang dihadapi tidak sewajarnya mereka terpengaruh dengan gejala ini. Wanita perlu mendapat pendorong yang gigih, sesuai dengan kejadian mereka seumpama daripada tulang rusuk yang bengkok. Kepimpinan Mithali daripada pihak lelaki akan mampu membawa mereka ke jalan yang lurus. Sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud “kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita , oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka(lelaki) menafkahkan sebahagian harta mereka”surah An-nisa’:34. Penegasan Islam tentang kedudukan wanita dan potensi mereka sebagai faktor pembangunan atau keruntuhan umat adalah suatu kenyataan yang perlukan catatan semua pihak dan diambil perhatian sewajarnya.
Wanita juga perlu menyedari peranannya yang sebenar kerana hak persamaan yang telah diberikan oleh Islam ranpa melebihi batasan yang telah digariskan dan menuntut kebebasan dan persamaan yang melanggari syara’. Kerana Islam telah meletakkan kedudukannya yang sesuai dengan tanggungjawab yang telah diamahkan. Wanita mampu meraih ganjaran dari Allah sama seperti lelaki juga sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud”barangsiapa mengerjakan amal Soleh, naik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, nescaya akan Kami anugerahkan kepadanya kehidupan yang baik dan akan Kami kurniakan kepada mereka balasan dengan ganjaran yang lebih baik daripada yang mereka kerjakan itu”.surah An-Nahl:97. Peranan wanita yang telah menempa tinta emas yang mewarnai sejarah ketika dahulu patut dicontohi oleh wanita Islam kini untuk mengembalikan imej dan menaikkan martabat wanita sepertimana Siti Khadijah,isteri baginda S.A.W yang telah menyerahkan segala kemewahan yang lantaran hatinya terpaut pada Islam dan hidupnya hanya untuk Allah Taala. Bertakhta Khadijah sebagai wanita pertama yang memeluk Islam dalam sirah perjalanan hidup Nabi S.A.W. juga penasihat yang menyokong penuh perjuangan Nabi S.A.W. Akhirnya martabat wanita yang telah diiktiraf oleh Islam mampu dikembalikan oleh wanita itu sendiri dan semestinya diperjuangkan sebaik-baiknya.